Khamis, 4 November 2010

AMANAT GURU BESAR


Sebagai seorang guru yang berpengalaman luas, Encik Mohammed Salleh Bin Mizan (Guru Besar SK Taman Rinting 1) telah memberi ingatan kepada semua murid SKTR1 supaya sentiasa mengambil peluang dan menyertai setiap aktiviti yang dijalankan di sekolah. Dengan menyertai setiap aktiviti sekolah, murid sebenarnya melalui proses pembelajaran secara tidak formal. Selain itu, murid juga dapat membentuk sahsiah yang positif.

Dalam masa yang sama, beliau juga mengingatkan semua murid agar sentiasa membaca walaupun peperiksaan akhir tahun telah berakhir. Murid perlu pandai memanfaatkan masa yang terluang supaya ianya tidak dibazirkan dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah.

PERANDINGAN MEWARNA UTUSAN

Johan Kategori B ( Tahap 1)
Pemenang pertandingan mewarna Tahap 1 dan Tahap 2



Johan Kategori A (Tahap 2)


Pemenang Kategori Pra Sekolah



Johan Kategori Pra Sekolah


Suasana pertandingan mewarna di Pra Sekolah.

Pertandingan mewarna merupakan salah satu aktiviti yang telah dijalankan dalam Sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat sekolah. Pertandingan mewarna ini mendapat kerjasama daripada Utusan Malaysia. Setiap murid yang menyertai pertandingan ini mendapat senaskhah akhbar, senaskhah majalah, barangan Adabi, dan barangan Southern Lion.


Pertandingan ini terbahagi kepada 3 kategori.
1) Pra Sekolah
2) Tahap 1 ( tahun 1,2 dan 3 )
3) Tahap 2 ( tahun 4,5 dan 6 )


Hadiah yang diterima oleh para pemenang bagi setiap kategori pula ialah:
1) Tempat Pertama menerima sebuah basikal dan sijil sumbangan Utusan Malaysia
2) Tempat Kedua menerima sebuah beg, hamper dan sijil sumbangan Utusan Malaysia
3) Tempat Ketiga menerima sebuah beg, hamper dan sijil sumbangan Utusan Malaysia
4) 10 hadiah saguhati berupa beg sekolah sumbangan Utusan Malaysia untuk setiap kategori
5) 5 hadiah saguhati sumbangan Southern Lion untuk Tahap 1 dan Tahap 2
















Rabu, 3 November 2010

TERIMA KASIH SEMUA

Sambutan Hari Kanak-Kanak 2010 telah selamat dilangsungkan pada 2 November 2010. Aktiviti tersebut telah dikelolakan oleh Jawatankuasa Pusat Sumber Sekolah, dengan bantuan semua kakitangan SK Taman Rinting 1.

Ucapan ribuan terima kasih daripada GPM SKTR1 untuk warga sekolah yang telah menjayakan majlis tersebut. Terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada pihak pentadbiran yang memberi sokongan kepada GPM untuk menjayakan majlis ini. Tidak dilupakan, ucapan terima kasih ini juga dirakamkan buat kakitangan Utusan Malaysia dan Southern Lion Sdn. Bhd. yang turut memeriahkan sambutan pada tahun ini.

Selasa, 10 Ogos 2010

GOTONG-ROYONG PERPUSTAKAAN



Gotong-royong di perpustakaan ini dijalankan untuk mengemaskini susunan buku mengikut Pengkelasan Sistem Dewey.



Aktiviti ini diadakan pada hari Sabtu dan melibatkan semua pengawas perpustakaan tahun 4 dan 5. Pengawas perpustakaan tahun 6 tidak terlibat kerana mereka terlibat dengan kelas tambahan. Menyusun buku-buku di perpustakaan ini, jika dilakukan seorang diri, tentunya akan mengambil masa yang lama. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Kerjasama antara semua pihak akan menjadikan Perpustakaan SKTR1 akan lebih terurus.



Setelah buku-buku tersusun mengikut pengkelasan, murid-murid dapat memilih buku yang mereka ingin baca dengan mudah.







PINTAR BAHASA



Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

bermaksud : Sesuatu perkara yang sukar, apabila dilakukan bersama-sama akan menjadi ringan dan mudah.










ANUGERAH GANGSA



Seramai 6 orang murid tahun 5 dan 6 telah menerima Anugerah Gangsa dalam Sistem Jauhari Program NILAM. Penyampaian Sijil Gangsa telah disempurnakan dalam Perhimpunan Mingguan, 9 Ogos 2010.

Diharapkan dengan adanya pengiktirafan ini, akan membakar semangat murid-murid supaya lebih berminat membaca dan membuat catatan dalam Buku Rekod NILAM. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Itulah yang guru-guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris terapkan kepada murid-murid SKTR1.

Pengiktirafan ini merupakan langkah pertama setelah sekian lama penganugerahan ini menyepikan diri.
PINTAR BAHASA
Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.
bermaksud : pekerjaan yang dilakukan sedikit demi sedikit, lama kelamaan akan menjadi sempurna.









Rabu, 7 Julai 2010

Perpustakaan Mini



Perpustakaan Mini ini diwujudkan untuk mengatasi masalah yang timbul apabila murid-murid dibenarkan mengunjungi Perpustakaan di tingkat 4. Sebahagian murid yang gemar bermain akan mengambil kesempatan memasuki kelas-kelas di tingkat atas dan mencuri alat tulis. Selain itu, kekangan masa yang sangat singkat pada waktu rehat tidak mengizinkan murid mengunjungi perpustakaan untuk meminjam dan memulangkan buku. Dengan wujudnya Perpustakaan Mini ini, kawalan murid pada waktu rehat lebih mudah dijalankan. Tiada lagi murid yang berkejaran di tingkat atas bagai asal ayam hendak ke lesung, asal itik hendak ke pelimbahan.

Perpustakaan Mini ini beroperasi pada waktu rehat sesi pagi ( 10.10 pagi hingga 10.30 pagi ) dan pada waktu rehat sesi petang ( 3.10 petang hingga 3.30 petang ). Sambutan daripada murid-murid SK Taman Rinting 1 adalah sangat menggalakkan. Murid boleh meminjam buku dalam tempoh 1 minggu ( 7 hari ). Murid juga dibenarkan memulangkan buku lebih awal daripada tarikh yang telah ditetapkan.



PINTAR BAHASA

Bagai asal ayam hendak ke lesung, asal itik hendak ke pelimbahan.
Maksud : Tabiat semula jadi sukar diubah

Isnin, 5 Julai 2010

LOKASI STRATEGIK.....?!

Perpustakaan baru SKTR 1 telah berubah wajah. Kini kedudukannya yang strategik di tempat baru mencernakan peranannya sebagai gedung ilmu. Peranan sebagai sumber ilmu mungkin antara faktor lokasinya begitu terpencil. Namun perlu diingat, lokasi baru hanyalah berrfungsi sebagai pelaksanaan Program Nilam. Aktiviti peminjaman buku dijalankan di Perpustakaan Mini yang terletak di antara Pra sekolah dan kelas 4 Terbilang.

Lokasi baru yang kondusif pastinya meransang minat pelajar SKTR 1 untuk bertandang. Mudah-mudahan begitulah..... namun yang pasti ia menyiksakan para guru. Almaklum di tingkat 4, sudah pasti memerahkan keringat dan seluruh tenaga bagi guru-guru yang kurang stamina. Tapi alah bisa tegal biasa..... bahkan ia menjadi satu rutin senaman untuk mengurangkan kolesterol.

Bilik Perpustakaan ini juga menempatkan Bilik Audio Video. Bilik ini dilengkapi dengan set televisyen yang menyediakan perkhidmatan Astro Kampus. Guru-guru boleh menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan selesa. Bagi menggalakkan murid-murid membuat pinjaman buku dan menanamkan minat membaca pada waktu rehat, sebuah Perpustakaan Mini telah kami wujudkan di tingkat bawah berhampiran Gelanggang Muafakat. Kedudukan Perpustakaan Mini yang mudah dikunjungi oleh semua warga sekolah ini membolehkan aktiviti sirkulasi ( peminjaman dan pemulangan ) dapat dijalankan dengan lebih efektif.

PINTAR BAHASA:

alah bisa tegal biasa bermaksud oleh kerana sudah biasa yang susah pun tidak terasa lagi.